arena

Eropah dahului AS Piala Solheim

Oleh AFP

EROPAH mengungguli hari pertama Piala Solheim di Gleneagles, Scotland untuk mendahului 4.5-3.5, namun kapten AS, Juli Inkster lega meraih dua ‘seri’ bagi dua perlawanan terakhir di lubang ke-18.

Tuan rumah menguasai acara foursome pada sebelah pagi 2.5-1.5 di sebalik persembahan memukau dua adik-beradik Korda, Jessica dan Nelly.

Eropah kemudiannya dilihat akan menjarakkan kedudukan ketika dua aksi fourball dikongsi dengan Carlota Ciganda dan Bronte Law di samping Charley Hull dan Azahara Munoz mendahului 1-up dengan berbaki satu lubang.

Bagaimanapun, Lexi Thompson dan Jessica Korda bangkit dengan Lexi membenam birdie pada lubang ke-18 untuk memastikan perlawanan itu berakhir seri.

“Hebat kerana berjaya mengubahnya,” kata Lexi. “Tapi saya sedar jika saya terlepas Jess akan melakukan birdie itu. Permainan golf yang hebat jadi gembira untuk mendapat setengah mata.”

Pada perlawanan terakhir di lapangan, Charley dan Azahara mendahului 4-up dengan berbaki enam lubang, namun Nelly Korda dan Brittany Altomare menang di lubang ke-14, 16 dan 17 untuk mencetus penamat mendebarkan.

Kali ini giliran pemain rookie Brittany meraih birdie, menolak masuk dari jarak 15 kaki untuk meraih setengah mata.

“Dua perlawanan terakhir ini menjadi kunci,” kata Juli. “Jika ada seseorang memberitahu saya kami hanya ketinggalan satu mata selepas hari pertama saya pasti cukup gembira. Saya fikir kami kelihatan bagus.”

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 12:53pm
d