arena

Chappell catat 59 selepas bedah

Oleh Reuters

KEVIN Chappell muncul pemain ke-10 mencatat bawah 60 dalam Jelajah PGA AS apabila dia membenam sembilan birdie berturut-turut untuk merakam 11 bawah par 59 pada kejohanan Klasik Greenbrier di West Virginia, AS, pagi tadi.

Pada kejohanan pertamanya sejak pembedahan belakang setahun lalu, Chappell berpeluang untuk menyamai rekod sepanjang zaman 58 milik Jim Furyk namun terlepas birdie dari jarak 10 kaki pada lubang kesembilan.

Sembilan birdie berturut-turut dilakukannya menyamai rekod Mark Calcavecchia dalam Jelajah PGA pada Terbuka Kanada 2009.

“Saya memukulnya dengan bagus dan kelihatan setiap putt yang saya lakukan terlalu mudah untuk dibaca,” kata Chappell kepada Radio Jelajah PGA.

“Untuk keluar dan bertanding kejohanan pertama dalam Jelajah PGA dengan mencatat 59, meletakkan saya dalam pemburuan kejuaraan pada hujung minggu, pasti sesuatu yang membanggakan,” katanya.

Di sebalik persembahan cemerlangnya, bekas pemain Piala Presiden berusia 33 tahun itu hanya berada di tangga kelima dengan 10 bawah par 130 selepas merakam 71 pada pusingan pertama.

Pemain Amerika Syarikat, Scottie Scheffler (62) dan Robby Shelton (65) serta pemain Chile berusia 20 tahun, Joaquin Niemann (62) berkongsi pendahulu dengan 13 bawah par 127.

Semuanya bagus buat Chappell hinggakan dia memberitahu kedi dia mahu melakukan 57. Namun par dalam dua lubang terakhir mengakhiri peluangnya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 1:15pm
d