arena

Nafuzi anggap seri lebih adil

Oleh Malik Muhamad

TERENGGANU FC (TFC) memilih laluan berliku untuk melangkah ke suku akhir saingan Piala Malaysia lebih awal selepas dimalukan Kedah 2-3 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Malah kekalahan kedua berturut-turut dalam Kumpulan A itu bukan saja mencemaskan peminat setia malah memberi tamparan hebat kepada jurulatih naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Skuad kendalian pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang kini mengumpul sembilan mata perlu sekurang-kurangnya seri pada aksi terakhir berdepan PKNS FC Selasa ini untuk mengiringi Kedah yang sudah layak beraksi dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Bagaimanapun, Nafuzi yang mengambil alih tugas daripada Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan mengejut pada 15 Mei lalu tetap tenang dan percaya peluang buat skuadnya layak ke suku akhir masih terbuka luas.

“Pertama sekali saya nak minta maaf kepada penyokong kerana keputusan perlawanan malam ini tidak menyebelahi TFC selepas tewas 2-3 di tempat sendiri biarpun dua kali bangkit menyamakan kedudukan.

“Tapi dari segi persembahan, pemain TFC menunjukkan aksi yang bagus, penyokong pun puas hati, tempo permainan laju, jika seri keputusan yang adil pada malam ini, tapi rezeki berpihak kepada Kedah.

“Namun begitu peluang kami mara ke suku akhir lebih cerah berbanding Negeri Sembilan yang juga masih ada peluang, tapi mereka saya rasa perlu menang dengan kelebihan tujuh gol menentang Kedah.

“Tapi saya tidak mahu bergantung nasib kepada pasukan lain, apa cara sekalipun perlu menang ke atas PKNS.”

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 1:33pm
d