arena

Salah, Mane kekal rentak kemenangan Liverpool

Oleh Agensi

DUA jaringan Sadio Mane dan satu menerusi Mohamed Salah memastikan Liverpool menewaskan Newcastle United 3-1 di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.

Mane menjaringkan gol pada minit ke-28 apabila percubaannya menewaskan Martin Dubravka di gawang Newcastle susulan hantaran awal yang dilakukan Andrew Robertson.

Ia memadamkan kelebihan pelawat yang mengejutkan skuad kendalian ‎Jurgen Klopp susulan jaringan seawal minit ketujuh permainan menerusi rembatan dalam kotak penalti Jetro Willems.

Roberto Firmino yang masuk menggantikan Divock Origi kerana kecederaan tidak menunggu lama untuk membantu The Reds apabila hantaran dari tengah padang disempurnakan Mane untuk jaringan kedua pada minit ke-40.

Tuan rumah menguasai babak kedua perlawanan dengan melancarkan beberapa gerakan berbahaya ke kubu lawan untuk menambah jaringan namun tidak berhasil sehinggalah pada minit ke-72 menerusi Mohamed Salah.

Firmino memainkan peranan penting untuk jaringan ketiga Liverpool apabila tolakannya membolehkan Salah melakukan larian ke dalam kotak penalti bagi menggegar gawang pelawat.

Liverpool kini menang semua lima perlawanan yang diharunginya untuk kekal menerajui Liga Perdana dengan 15 mata.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 10:36pm
d