arena

Prestasi terbaik

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Mutu bola sepak Malaysia kian meningkat.

Itu pandangan jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak selepas barisan pemain Harimau Malaya memperagakan aksi bertenaga berdepan bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 minggu lalu.

Malah ketua jurulatih Kedah itu mengakui pasukan bola sepak negara mampu melangkah lebih jauh hasil adunan pemain muda tempatan, naturalisasi dan kacukan.

Bagaimanapun, bekas pemain tengah skuad kebangsaan Singapura itu menggesa dan mencabar pemain negara mengintai peluang beraksi bersama kelab di luar negara bagi memantapkan lagi corak permainan mereka.

Selain itu, bekas pengendali kelab Home United dalam Liga Singapura itu turut mengharapkan pemain negara usah terlalu selesa dengan pujian melambung, sebaliknya meningkatkan prestasi permainan dari semasa ke semasa terutama dalam aksi peringkat tertinggi.

“Kita boleh bagi kredit kepada jurulatih Tan Cheng Hoe yang berjaya membentuk pasukan mantap sebagai mana dibuktikan pemain ketika bertemu Indonesia dan UAE tempoh hari.

“Kita boleh nampak dengan kemasukan pemain muda berbakat dalam skuad Malaysia dan ditambah pemain naturalisasi serta pemain berdarah campuran, banyak peningkatan dalam pasukan Malaysia kerana bukan senang beraksi di Indonesia begitu juga dengan pasukan UAE yang berada di ranking lebih baik selain reputasinya antara pasukan terbaik di Asia,” katanya selepas berakhir pertemuan Terengganu FC (TFC) dengan Kedah dalam aksi peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Beliau berkata, Malaysia boleh menang ketika bertemu dengan UAE sebagaimana ketika bertemu Indonesia, kerana banyak peluang diperoleh terutama pada babak pertama, tapi pasukan Malaysia perlu baiki kesilapan yang sering dilakukan.

“Pemain juga harus lebih fokus, saya percaya mereka akan lebih bagus dan terus meningkat selain mampu melangkah lebih jauh serta menjadi pasukan lebih matang dalam permainan lebih-lebih lagi Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat besar.

“Ini ditambah pula dalam liga tempatan ramai pemain import berkualiti beraksi sekali gus mampu meningkat lagi kualiti permainan pemain,” katanya.

Skuad Harimau Malaya bermula dengan langkah kanan apabila berjaya meraih tiga mata menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi sulung Kumpulan G di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September lalu sebelum tewas tipis 1-2 kepada UAE pada aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil 10 September lalu.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 5:30am
d