arena

Rashford kembali sempurnakan penalti

Oleh AFP

MARCUS Rashford melupakan kekecewaan sebelum ini apabila menjaringkan gol menerusi sepakan penalti membantu Manchester United menang 1-0 ke atas Leicester City di Old Trafford, lewat malam tadi.

Keputusan itu juga satu kejayaan peribadi buat pertahanan United bernilai £80 juta (RM416 juta) Harry Maguire, yang dibeli dari Leicester bulan lalu dan dicemuh serta diherdik sepanjang perlawanan oleh bekas penyokongnya.

Maguire melakukan kesilapan awal yang mungkin menghadiahkan bekas kelabnya gol namun bertindak lebih baik selepas itu ketika United meraih kemenangan kedua dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris.

“Saya tidak fikir ia mengganggunya,” kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

“Apabila anda bermain, apabila anda melatih, apabila anda mengurus, anda tidak terbawa-bawa apabila anda menang mungkin perlawanan yang anda tidak berhak menang, tapi anda tidak perlu menangis apabila tidak menang perlawanan yang anda berhak menang.”

Pengakuan Solskjaer United menang kerana bernasib baik adalah jujur dan tepat dan beliau berterima kasih kepada penalti minit kelapan Rashford - penalti keempat diberikan kepada mereka dalam lima perlawanan pertama.

Penalti mendominasi agenda berita berkaitan United pada awal kempen dengan Paul Pogba dan Rashford kedua-duanya bersalah kerana gagal menyempurnakannya sekali gus hilang mata menentang Wolves dan Palace.

“Setiap penyerang terlepas penalti,” kata Solskjaer. “Saya pernah saksikan (Diego) Maradona, (Lionel) Messi, (Michel) Platini, Zico - pemain kegemaran saya sepanjang zaman, semuanya terlepas.”

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 8:43am
d