arena

Fati kemudi Barca belasah Valencia

Oleh Reuters

PENYERANG Barcelona berusia 16 tahun, Ansu Fati meneruskan rentak cemerlangnya dalam pasukan utama dengan meledak dan mencipta gol ketika juara La Liga Sepanyol itu membelasah Valencia 5-2, awal pagi tadi.

Fati, yang muncul penjaring gol termuda Barca dua minggu lalu ketika menentang Osasuna, menyumbat gol sulungnya di Nou Camp untuk membantu Barca mendahului selepas hanya dua minit dengan merembat masuk hantaran Frenkie de Jong.

Pemain remaja sensasi itu kemudian menjadi pengumpan apabila meluru ke kotak penalti dari sayap kiri sebelum menghantar kepada De Jong dari Belanda yang menyempurnakan gol sulungnya bersama kelab itu pada minit ketujuh.

Valencia, bermain aksi pertama sejak pemecatan jurulatih Marcelino dan digantikan dengan Albert Celades, membalas satu gol pada babak pertama menerusi Kevin Gameiro namun Barca mengasak bertali-arus selepas rehat.

Gerard Pique menyepak masuk pada minit ke-51 selepas percubaan Antoine Griezmann terkena palang manakala Luis Suarez meledak dua gol selepas masuk sebagai pemain gantian. Maxi Gomez meraih gol sagu hati Valencia pada masa kecederaan.

Kemenangan itu membolehkan Barca, yang masih kehilangan khidmat kapten Lionel Messi kerana kecederaan, mengumpul tujuh mata selepas empat perlawanan di tangga keempat, manakala Valencia meraih empat mata.

“Bukan sesuatu yang biasa dengan sentuhan pertamanya dia menjaringkan gol dan sentuhan keduanya menghasilkan gol,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde mengenai Fati.

“Untuk membiasakan diri sebagai pemain Barca menjadi tugas setiap orang, apatah lagi bagi seorang pemain yang terlalu muda sepertinya, tapi dia seorang pemain yang seimbang, dia memudahkan tugas saya.”

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 11:56am
d