arena

Eropah, AS terikat 8-8

Oleh AFP

CELINE Boutier dan Georgia Hall muncul wirawati Eropah lewat malam tadi ketika tuan rumah terdesak untuk menghidupkan harapan merampas semula Piala Solheim di Gleneagles, Scotland.

Selepas bergelut dengan permainan fourball dalam cuaca sejuk, Amerika Syarikat muncul pemenang hari kedua 2.5-1.5 untuk menyamakan kedudukan 8-8 menjelang hari terakhir 12 perlawanan perseorangan lewat hari ini.

Sebagai juara bertahan, AS hanya perlu menang enam daripada perlawanan itu untuk merangkul trofi buat tahun ketiga berturut-turut.

Celine, pemain rookie Perancis dan Georgia, juara Terbuka Wanita British 2018, melakukan kebangkitan menakjubkan menentang Ally McDonald dan Angel Yin untuk meraih mata penuh.

Mereka ketinggalan 4-down selepas tujuh lubang dan masih 3-down dengan berbaki lima lubang, Georgia dan Celine menang empat lubang berikutnya untuk mendahului satu lubang dan mereka menokok satu lagi pada lubang ke-18 bagi kemenangan dua lubang.

Celine menghasilkan tiga persembahan mengagumkan – dia menolak masuk eagle two dari jarak 20 kaki pada lubang ke-14 par empat dan kemudian birdie pada lubang ke-16 dan 18.

Georgia dan Celine yang berusia 25 tahun menang tiga daripada tiga perlawanan.

“Satu cara hebat untuk memulakan karier Solheim saya. Saya mempunyai gandingan yang hebat. Eagle itu penting – ia menghidupkan peluang kami,” kata Celine.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 1:23pm
d