arena

Juara NBA lancar hijab sukan

Oleh AFP

JUARA NBA, Toronto Raptors menjual hijab sukan menampilkan logo pasukan itu, mendapat inspirasi daripada sekelompok atlet wanita Muslim di bandar raya Kanada itu.

Pemain Hijabi Ballers tampil dalam video memperkenalkan produk itu, yang disiarkan dalam akaun Twitter Raptors kelmarin.

Projek Hijabi Ballers, yang berpangkalan di Greater Toronto Area, mempunyai objektif untuk mengiktiraf serta meraikan pembabitan wanita dan kanak-kanak perempuan Muslim dalam sukan itu.

“Ada cerita mengenai mereka ketika playoff dalam Star mengenai bagaimana kami boleh berhubung dengan kelompok penyokong yang berlainan dan dari situlah idea ini wujud,” kata Jerry Ferguson, pengarah pemasaran syarikat induk Raptors, Maple Leaf Sports and Entertainment, kepada akhbar Toronto Star.

“Kami mendapat inspirasi daripada mereka.”

Raptors menyatakan hijab dengan jenama Nike yang direka untuk sukan dan menampilkan logo kelab itu boleh dibeli di gelanggang pasukan itu, Arena Scotiabank.

Amreen Kadwa, pengasas Hijabi Ballers berkata, sokongan daripada Raptors “mencetus suasana yang mana wanita yang bermain bola keranjang boleh beraksi dengan lebih keyakinan dan kekuatan serta akhirnya berasa diterima.”

Pada 2017, badan induk bola keranjang dunia FIBA menarik balik larangan pemain profesional memakai tudung kepala – peraturan yang bermakna pemain wanita Muslim tidak boleh memakai hijab dan memaksa Qatar menarik pasukan bola keranjang wanita mereka daripada Sukan Asia Incheon 2014.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 2:35pm
d