arena

Sabah bersemangat biarpun tersingkir

Oleh Ryan Stanley

PENGENDALI Sabah, Jelius Ating memuji persembahan dipamer anak didiknya ketika menundukkan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Katanya, mereka bermain jauh lebih baik, malam tadi berbanding empat aksi lalu menyaksikan mereka tewas dalam kesemua perlawanan berkenaan.

"Kita bukan saja menang pada malam tadi tetapi mempamerkan permainan baik dari segi penguasaan bola, apabila kita kehilangan bola kita berjaya merampas balik dan apa yang saya lihat permainan kami lebih teratur.

"Walaupun kita memulakan permainan dengan hanya menggunakan dua pemain import tetapi kami masih mampu memberi saingan kepada lawan sehinggalah saya memasukkan Aguinaldo (Mendes Veiga) di babak kedua.

Kami akhirnya berjaya memecah kebuntuan sekali gus memenangi perlawanan itu," katanya.

Jelius berkata, beliau memulakan Aguinaldo di bangku simpanan kerana pemain itu mengalami kecederaan dan beberapa hari tidak menyertai sesi latihan.

Bagaimanapun, risiko yang diambil untuk memasukkan pemain import dari Angola itu di babak kedua ternyata membuahkan hasil apabila penyerang itu berjaya membantu pasukan memperolehi gol.

Dalam aksi malam tadi, Maxsius Musa membuka jaringan untuk skuad Tambadau apabila menyempurnakan hantaran Alto Linus pada m-53.

Pasukan tuan rumah kemudian menambah jaringan pada m-82 apabila gerakan solo Aguinaldo yang kemudiannya melorongkan bola kepada Rodoljub Paunovic berjaya disudahkan dengan baik.

Skuad Harimau Kumbang memiliki peluang terbaik menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti m-62 namun Anselmo Arruda Da Silva mensia-siakan peluang.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak memberi makna kepada Sabah dalam saingan Piala Malaysia apabila peluang layak ke peringkat seterusnya sudah tertutup berikutan kemenangan Perak terhadap Pahang di Ipoh.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 2:54pm
d