arena

Selangor raih hatrik berganda

Oleh Ferzalfie Fauzi

BUKAN hatrik biasa, tetapi skuad badminton remaja Selangor membuktikan keupayaan luar biasa mereka apabila mengungguli kategori lelaki dan wanita.

Pentas akhir Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM (ABNJL) membuktikan bahawa Selangor terlalu unggul sehingga membolehkan mereka muncul juara bagi edisi ketiga ABNJL yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Skuad yang dibimbing Seto Danu Kusuma berada pada kelas tersendiri apabila menyapu bersih gelaran lelaki dan wanita buat tahun ketiga berturut-turut dengan mencatat kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur.

Menurut jurulatih kelahiran Indonesia itu, kejayaan penuh bermakna itu dicapai berlandaskan persiapan rapi yang dilakukan lebih awal.

"Sebenarnya kami sudah jangkakan, tapi saya tetap ingatkan barisan pemain sebelum turun beraksi bahawa perjuangan baharu bermula.

"Semasa peringkat kumpulan kita berdepan lawan yang kurang sepadan dan akhirnya kami mencipta sejarah ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah ABNJL hari ini.

Dalam aksi final kejohanan yang menggunakan format Piala Thomas itu, mata pertama skuad lelaki Selangor disumbangkan Jimmy Wong yang mengatasi Tan Jia Jie 21-7, 21-11 dan diikuti kemenangan beregu Kenny Khew-Rushdan Haris 21-19, 21-17 ke atas Chong Ee Jack-Lee Qi Hong.

Chua Kim Sheng melengkapkan kemenangan Selangor selepas mudah membenam cabaran perseorangan Kuala Lumpur, Marcus Low 22-20, 21-8.

Seto memberi bayangan beberapa pemainnya mempunyai keupayaan untuk menggegar arena badminton negara pada masa akan datang.

Antara pemain yang dilihat berpotensi ialah Jimmy, Kim Sheng dan Muhammad Zulhairi Sahimi (perseorangan lelaki) manakala bagi pemain wanita pula terarah kepada K Letshanaa dan Siti Nurshuhaini Azman.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 7:03pm
d