arena

Aksi PKNP, PJ City ditangguh

Oleh BERNAMA

PERLAWANAN terakhir Kumpulan B Piala Malaysia antara PKNP FC dan Petaling Jaya City (PJ City FC) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak pada Selasa ini, terpaksa ditunda kepada satu tarikh baharu selepas beberapa pemain PJ City FC dijangkiti virus Influenza B.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan perlawanan berkenaan akan diadakan pada 20 September ini di venue yang sama pada jam 9 malam.

Susulan perubahan tarikh perlawanan berkenaan, MFL menjelaskan aksi suku akhir pertama antara Juara Kumpulan A dan Naib Juara Kumpulan B terpaksa dipinda kepada 24 September ini.

Untuk rekod, PJ City dan PKNP FC menduduki tangga kedua dan ketiga Kumpulan B selepas masing-masing mengutip sembilan dan tujuh mata setelah beraksi lima perlawanan.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) layak ke suku akhir selaku Juara Kumpulan B dengan kutipan 13 mata selepas lima perlawanan.

Pada masa sama, MFL turut memaklumkan mereka meluluskan permohonan pasukan Sarawak untuk menukar tarikh perlawanan separuh akhir pertama Piala Cabaran menentang UKM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya daripada 21 Sept kepada 22 Sept.

MFL memaklumkan perlawanan berkenaan kekal berlangsung pada jam 8.15 malam.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 11:09pm
d