arena

Benedetto tambah derita Monaco

Oleh Reuters

DARIO Benedetto terus mempamerkan aksi cemerlang bersama Olympique de Marseille apabila dua jaringan penyerang Argentina itu membolehkan pasukannya menewaskan Monaco 4-3 di tempat lawan, awal pagi tadi.

Benedetto menjaringkan gol pada setiap babak dengan Valere Germain dan Dimitri Payet turut menembusi gawang tuan rumah selepas Monaco mendahului 2-0 hasil jaringan Wissam Ben Yedder yang kemudiannya terpaksa dikeluarkan pada babak kedua akibat kecederaan.

Keita Balde menjaringkan gol ketiga Monaco tetapi gagal mengubah nasib pasukannya yang menduduki tangga kedua terbawah liga dengan dua mata daripada lima perlawanan.

Benedetto sudah menjaringkan lima gol sejak berpindah dari Boca Juniors sekali gus membolehkan Marseille menduduki tangga keempat dengan 10 mata, dua mata di belakang pendahulu Paris St Germain.

Ben Yedder membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi penalti selepas bola terkena tangan Boubacar Kamara dan pemain antarabangsa Perancis itu menggandakan kelebihan dengan menolak bola masuk selepas mendapat hantaran Islam Slimani 10 minit selepas itu.

Marseille kembali bangkit pada minit ke-39 selepas Benedetto yang mendapat hantaran jauh Morgan Sanson daripada sebelah kanan merembat kencang untuk gol pertama pasukannya.

Tiga minit selepas rehat, Marseille berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Germain selepas mendapat hantaran Kevin Strootman.

Ben Yedder kemudiannya digantikan Jean-Kevin Augustin pada awal babak kedua selepas mendapat kecederaan di bahagian pinggang.

Marseille kembali mendahului pada minit ke-61 menerusi rembatan kencang Payet di luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Monaco, Benjamin Lecomte.

Benedetto menambah gol keempat dari jarak dekat lima minit selepas itu dan Balde yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua menceriakan seketika penyokong tuan rumah ketika permainan berbaki 15 minit menerusi rembatan kencang ke penjuru gawang Marseille.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 8:01am
d