arena

Abraham ugut 'berpaling' kepada Nigeria

Oleh Agensi

TAMMY Abraham mengugut untuk beraksi bersama Nigeria sekiranya Gareth Southgate tidak segera memilihnya untuk beraksi bersama England.

Penyerang Chelsea itu layak mewakili kedua-dua negara itu menerusi bapanya yang berasal dari Nigeria yang juga rakan rapat Presiden Persekutuan Bola Sepak Nigeria (Super Eagles), Amaju Pinnick.

Abraham kelihatan seperti memberi komitmen kepada England selepas menolak Nigeria untuk membuat penampilan sulung senior bersama Three Lions ketika beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Jerman pada November 2017.

Dia bagaimanapun tidak disenaraikan dalam skuad sejak 22 bulan lalu dan sekali lagi terlepas padang oleh Southgate ketika kelayakan Euro 2020, minggu lalu menentang Bulgaria dan Kosovo.

Dia juga menyedari Super Eagles memperbaharui hasrat terhadapnya dan selepas meledak hatrik menarik menentang Wolves, dia tidak menolak kemungkinan mengubah angin.

“Saya sudah mengadakan pertemuan,” katanya mengakui.

“Apabila waktunya tiba, masanya akan tiba.”

Ditanya sama dia masih perlu membuat keputusan besar terhadap masa depannya di peringkat antarabangsa, Abraham membalas:

“Saya masih belum fokus terhadap perkara itu lagi. Saya fokus terhadap Chelsea dan berharap dapat menjaringkan gol dan meraih kemenangan.

“Kita tidak tahu. Anda tidak boleh kata tidak, apa saja yang datang dahulu.”

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 5:27pm
d