arena

Tchetche yakin Terengganu serap tekanan

Oleh Malik Muhamad

PENYERANG Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche mengakui pasukannya sedikit tertekan berdepan PKNS FC dalam aksi terakhir kumpulan A saingan Piala Malaysia malam esok.

Pemain kelahiran Ivory Coast itu menyatakan biarpun rekod sebelum ini memihak kepada skuad TFC tapi tidak boleh dijadikan ukuran kerana setiap perlawanan berbeza.

Malah pemain berusia 32 tahun itu mengakui skuad Semut Merah pasti mahu mengakhiri saingan Liga Malaysia musim ini dengan kemenangan walaupun sudah tersingkir untuk ke suku akhir.

"Rekod sebelum ini menyaksikan TFC sering mengatasi PKNS FC tapi ia bukan pengukur bagi menentukan kemenangan menjelang pertemuan penting itu.

"Tidak mudah bertemu pasukan sudah terkeluar persaingan suku akhir kerana mereka tidak berdepan tekanan sebaliknya hanya pelengkap jadual permainan, menang atau kalah, kedudukan skuad itu tidak berubah.

"Tetapi untuk pasukan TFC, cabarannya tidak sama kerana kita bermain dengan matlamat untuk menang bagi memastikan kita layak ke peringkat suku akhir dan seterusnya intai peluang muncul juara kumpulan," ujar Tchetche.

Juara dan naib juara Kumpulan A layak ke suku akhir dan bertemu juara dan naib juara Kumpulan B.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 5:47pm
d