arena

Putera Abdullah 'pegang' Sheffield United

Oleh Reuters

KEVIN McCabe diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk menjual 50 peratus daripada sahamnya dalam kelab Sheffield United kepada pemilik bersama Putera Abdullah bin Mosaad bin Abdulaziz Al Saud, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Media Britain melaporkan kedua-dua mereka bertelagah pada 2017 selepas melancarkan bidaan berasingan untuk membeli kelab Yorkshire itu yang melonjak ke liga utama selepas menduduki tangga kedua Liga Kejuaraan musim lalu.

Mereka terbabit dalam perbicaraan di mahkamah selama lebih 20 bulan dan menemui penyelesaiannya hari ini di mana skuad Blades mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa ia akan membolehkan mereka memberi fokus penuh terhadap saingan musim ini.

Putera Abdullah menjadi pemilik bersama selepas membeli 50 peratus saham dalam kelab divisyen ketiga itu pada 2013, di mana McCabe berharap perjanjian itu akan membawa pelaburan menguntungkan masa depan ketika kelab itu berhajat kembali ke Liga Perdana.

“Kevin berasa teraniaya dan terkejut dengan cara beliau dilayan oleh Putera Abdullah dan kini amat menyesal kerana berurusan dengannya,” jurucakap keluarga McCabe bercakap dalam satu kenyataan.

Putera Abdullah, cucu kepada pengasas Arab Saudi, gembira dengan keputusan di mana McCabe diperintahkan menjual sahamnya di kelab itu sebanyak lima juta pound (RM26 juta).

“Penghakiman ini membawa pengakhiran kepada ketidak tentuan masa depan Sheffield United,” kata beliau dalam satu kenyataan.

“Pengurus kami Chris Wilder dan pasukan akan memberikan permulaan positif dan kini kami boleh fokus kepada musim Liga Perdana Inggeris yang penting di bawah pemilikan yang stabil.”

Skuad The Blades kini di tangga ke-15 selepas mengutip lima mata daripada lima perlawanan liga musim ini.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 8:41pm
d