arena

Al-Ikhsan perkenal hijab sukan

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PERUNCIT barangan sukan terkemuka, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) secara rasmi memperkenalkan hijab sukan pertamanya menerusi jenama syarikat itu, AL Sports bagi atlet dan wanita muslimah di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vach Pillutla berkata, hijab yang dijual dengan harga lebih murah berbanding jenama antarabangsa menampilkan beberapa ciri khas terutama teknologi mudah kering.

“Teknologi yang direka bagi mengutamakan keselesaan ini merangkumi tiga lapisan kain ringan termasuk berfungsi menyerap peluh dan mengeluarkan haba untuk menyejukkan pemakainya.

“Selain itu, hijab sukan AL Sports menerusi warna hitam dan biru gelap menutup keseluruhan atas kepala dan leher sekali gus bersesuaian dengan wanita yang aktif bersukan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran di Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, empat pemain hoki wanita kebangsaan Farah Ayuni Yahya, Noraini Abdul Rashid, Fatin Syafiqah Shukri dan Siti Zulaikha Hussin.

Menurut Vach, mereka turut merancang untuk menambah produk mesra muslimah lain seperti seluar dan baju lengan panjang pada masa depan.

“AL Sports sebagai jenama tempatan setakat ini mendapat sambutan menggalakkan kerana kami turut mempunyai kualiti sama dengan jenama luar,” katanya memaklumkan hijab berharga RM45 dan RM55 itu boleh didapati di lebih 100 cawangan Al-Ikhsan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Farah berkata, material hijab itu sememangnya amat bersesuaian dengan wanita terutama yang mudah berpeluh sama ada ketika cuaca panas atau sejuk.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 5:31pm
d