arena

Zii Jia hampir malukan Chen Long

Oleh Ferzalfie Fauzi

HASRAT perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mengekalkan rekod bersih ketika bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long tidak kesampaian apabila dia tumpas pada pusingan pertama Terbuka China hari ini.

Selepas cemerlang mengalahkan bekas pemain nombor satu dunia pada Terbuka Indonesia Julai lalu, Zii Jia terpaksa akur kali ini apabila tumpas 16-21, 21-12, 21-23 di Pusat Sukan Olimpik, Beijing.

Menurut pemain dari Kedah itu, bukan mudah untuk mengulangi pencapaian menumpaskan pemain 10 terbaik dunia.

“Seperti saya katakan sebelum ini, bertemu kali kedua dengan pemain 10 terbaik dunia bukannya mudah, mereka akan lebih bersedia berbanding aksi pertama,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Zii Jia yang juga perseorangan nombor satu negara, mengakui sudah membayangkan kemenangan terutama ketika mengikat kedudukan 20-20 pada set penentuan.

Nasib berbeza dialami perseorangan lelaki profesional, Liew Daren apabila dia mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Sitthikom Thammasin dari Thailand 13-21, 21-19, 21-15.

Sementara itu, dua beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen terpaksa pulang awal selepas tumpas kepada lawan masing-masing.

Mei Kuan-Meng Yean akur dengan kehebatan pilihan keempat dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan apabila kalah 12-21, 15-21 manakala Vivian-Cheng Wen tumbang di tangan Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 12-21, 21-17, 14-21.

Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula kalah 18-21, 21-16, 12-21 kepada Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia.

Turut tersingkir beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kalah kepada pilihan keempat dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-15, 13-21, 16-21.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 6:02pm
d