arena

Nasihat Maniam buat pemain B-16

Oleh Firdaus Hashim

PENGENDALI skuad remaja negara, P Maniam tidak mahu pemain mudanya leka dibuai kejayaan menjulang Kejuaraan B-15 AFF apabila turun pada aksi pembukaan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 menentang Kemboja di Stadium Nasional, Vientiane, Laos, malam esok.

Menurut Maniam, kejayaan di Chonburi, Thailand bulan lalu perlu dilupakan seketika dengan aksi kelayakan AFC menjadi keutamaan pasukan yang menyasarkan tempat ke pusingan akhir tahun depan.

Berdasarkan format pertandingan, 11 juara setiap kumpulan akan layak secara automatik manakala empat naib juara terbaik turut meraih tiket ke pusingan akhir.

“Sudah tentu memenangi piala (Kejuaraan AFF) akan menambah keyakinan kami yang mana pemain sentiasa yakin dengan diri sendiri.

“Tapi ini pertandingan berbeza dan lawan sudah tentunya tahu kelemahan serta kekuatan kami. Pasukan perlu bermain mengikut cara kami dan fokus untuk saingan ini.

“Kami akan ambil satu perlawanan ke satu perlawanan dan ia bukan soal kami kuat atau tidak. Kami ambil semua aksi adalah sama dan paling penting kekal fokus,” katanya pada sidang media di Vientiane, hari ini.

Selain berdepan Kemboja dalam Kumpulan J, skuad cilik negara akan bertemu tuan rumah Laos pada aksi kedua Jumaat ini sebelum menutup kempen menentang juara bertahan B-16 AFC, Jepun Ahad ini.

Berdasarkan prestasi semasa, anak didik Maniam berpotensi mencipta kejutan selepas muncul juara AFF menewaskan Thailand 2-1 pada final.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 8:08pm
d