arena

Federer, Del Potro hibur penonton di Buenos Aires

Oleh AFP

ROGER Federer dan Juan Martin del Potro yang dijangka kembali beraksi bulan depan selepas pulih kecederaan lutut bakal menyertai aksi pertunjukan di Buenos Aires pada 20 November depan.

"Saya beritahu anda yang saya sangat gembira kembali semula ke Argentina untuk menentang rakan baik, Juan Martin del Potro di Parque Roca," kata Federer menerusi video dalam Twitter Del Potro, awal pagi tadi.

Stadium Parque Roca mempunyai kapasiti 15,500 tempat duduk dan biasa digunakan untuk aksi Piala Davis.

Del Potro juara Terbuka Amerika Syarikat 2009 dari Argentina tidak beraksi sejak mengalami kecederaan lutut kanan ketika menyertai kejohanan pemanas badan Wimbledon di Queen pada Jun lalu.

Kecederaan itu memaksa pemain berusia 30 tahun itu menarik diri daripada menyertai Terbuka AS tahun ini. Dia muncul naib juara 2018 selepas dikecewakan Novak Djokovic pada aksi final.

Del Potro dijangka tampil semula di kejohanan ATP di Stockholm yang berlangsung dari 14-20 Oktober selain bertanding di Vienna minggu berikutnya.

Perlawanan di Buenos Aires berlangsung pada masa sama final Piala Davis di Madrid yang bermula 18-24 November.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 1:11pm
d