arena

Yew Sin-Ee Yi pulih maruah

Oleh Ferzalfie Fauzi

GANDINGAN Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menyelamatkan maruah beregu lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mara ke pusingan kedua Terbuka China hari ini.

Pada aksi pusingan pertama di Pusat Sukan Olimpik Beijing, Yew Sin-Ee Yi menumbangkan beregu Korea Selatan, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae 20-22, 21-13, 21-13.

Menurut Ee Yi, mereka bermain dengan baik kecuali pada set pertama.

“Set pertama memang kami mendahului selepas itu mereka mengejar dan kami juga terlalu gopoh untuk mencari mata,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menanti mereka pada pusingan kedua adalah pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Astrup-Skaarup Rasmussen mara selepas mengalahkan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan 21-14, 21-11.

Sebelum itu, satu lagi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah kepada pilihan kelima dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe 14-21, 17-21.

Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah pula terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kedua dari Taiwan, Tai Tzu Ying apabila kalah 9-21, 16-21.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 8:19pm
d