arena

Skuad B-16 langkah kanan di Vientiane

Oleh Firdaus Hashim

STATUS selaku ‘Raja Asia Tenggara’ memberi keyakinan tinggi buat skuad remaja negara apabila membelasah Kemboja 7-0 pada aksi pertama kempen Kelayakan Kejuaraan B-16 Asia di Stadium Nasional, Vientiane, Laos, malam ini.

Malaysia yang muncul juara Kejohanan B-15 AFF di Chonburi, Thailand bulan lalu jelas berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai penuh aksi itu tanpa mampu digugat Kemboja.

Anak buah P Maniam yang dikejutkan dengan masalah kesihatan lima pemain sebelum sepak mula tidak menunggu lama apabila Adam Uwais Mohd Armi mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ketujuh susulan terjahan keras penjaga gol Kemboja, Heng Ratanakbandith dalam kotak penalti terhadap penyerang negara.

Sembilan minit kemudian, gawang lawan bocor lagi apabila Adam Farhan Mohd Faizal yang tidak diberi tekanan melepaskan rembatan kaki kiri tepat menuju ke penjuru atas untuk meletakkan Malaysia mendahului 2-0.

Pesta gol negara diteruskan menerusi dua jaringan Akid Mohd Zamri masing-masing pada minit ke-22 dan 30 buat menoktahkan aksi di babak pertama memihak Malaysia.

Harry Danish Haizon melebarkan kedudukan 5-0 di minit ke-52 sebelum ketua pasukan Nabil Qayyum Zainuddin dan Khairil Mohd Zain menambah dua gol lagi masing-masing pada minit ke-64 dan 90.

Menerusi kemenangan besar itu, skuad negara kini memimpin carta Kumpulan J dengan kelebihan gol selepas berkongsi tiga mata bersama Jepun. Terdahulu Jepun membenam Laos 4-0.

Malaysia dijadual menentang Laos Jumaat ini sebelum berdepan juara bertahan Jepun dua hari kemudian.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 9:49pm
d