arena

Selaras isu secara proaktif

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Siti A’isyah Sukaimi

LANGKAH proaktif diambil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengadakan perbincangan berkaitan 13 stadium tanpa Sijil Pematuhan Kod (CCC) dengan negeri terbabit bagi menentukan status keselamatannya.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pegawainya sebelum ini memaklumkan 13 daripada 21 stadium dalam negara ini beroperasi tanpa merujuk kepada agensi teknikal seperti pihaknya.

Katanya, disebabkan bangunan stadium yang sudah siap tidak dirujuk kepada pihaknya, maka status keselamatannya tidak dapat dipastikan.

“Tidak bermakna bangunan stadium itu selamat atau tidak selamat selagi mana kami tidak memeriksanya. Oleh kerana kami tidak dirujuk bagi kelulusan CCC, kami pun tidak tahu statusnya.

“Jadi selepas ini kami akan berbincang dan menyelaraskan dengan negeri yang berkenaan yang mana stadium tidak pernah melalui proses CCC untuk kami lihat status keselamatannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan 99 unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan 50 unit kenderaan utiliti Toyota Hilux kepada JBPM di Pusat Kejuruteraan Jentera, JPBM Salak Tinggi, Sepang, semalam.

Majlis penyerahan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek.

Menurut Mohammad Hamdan, pihaknya juga akan memohon kepada perbadanan stadium negeri untuk memastikan bahawa aspek keselamatan diambil perhatian serius khususnya merujuk kepada JBPM untuk melakukan pemeriksaan.

“Dan sekiranya syor-syor keselamatan perlu dipasang ataupun tindakan perlu diambil, jadi kami akan syorkan kepada perbadanan stadium negeri masing-masing. Kami tidak pernah nyatakan bahawa bangunan 13 stadium itu tidak selamat sebaliknya berkata bahawa 13 stadium itu tidak pernah merujuk untuk dapatkan CCC. Selagi tidak periksa, macam mana kami tahu ia berisiko?” katanya lagi.

Akhbar ini dalam laporan ekslusif kelmarin melaporkan 13 daripada 21 stadium dalam negara ini berisiko kepada penonton kerana tidak selamat untuk digunakan berikutan tidak memperoleh CCC atau Sijil Layak Menduduki (CF).

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 6:00am
d