arena

'Mana ada pilih kasih'

Oleh Saiful Affendy Sapran

TIADA istilah pilih kasih di dalam isu pemilihan pemain untuk mewakili skuad kebangsaan yang menyaksikan dominasi kaum Melayu berbanding yang lain ketika ini.

Sebaliknya, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pemilihan pemain dilakukan sendiri oleh ketua jurulatih dan ia dijalankan secara profesional.

“Contohnya, S Kumar masih kekal sebagai penjaga gol nombor satu negara kerana dia adalah yang terbaik. Jadi dapat dilihat sini bahawa segala-galanya adalah berdasarkan merit.

“Jurulatih tidak melihat kepada isu bangsa atau agama. Masalah utama sekarang ialah kita sememangnya ketandusan pemain selain kaum Melayu.

“Apabila ada sesi pemilihan, mereka ini tidak menepati standard tertentu yang diletakkan jurulatih,” katanya yang mengaku kebenaran laporan Arena Metro berhubung isu ketandusan pemain bukan Melayu di dalam skuad kebangsaan serta di peringkat akar umbi.

Justeru, beliau berharap Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang akan diperkenalkan secara rasmi dalam tempoh terdekat akan menjadi jalan penyelesaian kepada isu berkenaan.

“Program ini akan membabitkan majoriti semua sekolah dengan pembabitan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara).

“Ia sebenarnya sudah dimulakan secara berperingkat sejak September tahun lalu. Cuma ketika ini program berkenaan kekurangan dana sekali gus tidak dapat dilakukan secara menyeluruh,” katanya.

Jelas Subahan, program itu dirangka selama 10 tahun dengan peruntukan setiap tahun yang dianggarkan berjumlah antara RM3 hingga RM4 juta.

Selain itu, beliau juga berharap satu formula dapat dirangka untuk menjadikan sukan hoki sebagai satu kerjaya profesional yang mampu menjamin masa depan.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 6:30am
d