arena

Greenwood wira Red Devils

Oleh AFP

PEMAIN remaja, Mason Greenwood menyelamatkan maruah Manchester United apabila jaringan tunggalnya menewaskan juara Kazakh, Astana 1-0 dalam aksi pembukaan Liga Europa di Old Trafford, awal pagi tadi.

Pada usia 17 tahun, Greenwood muncul pemain termuda United menjaringkan gol dalam aksi Eropah selepas tenang menewaskan penjaga gol lawan, Nenad Eric, 17 minit sebelum tamat permainan.

"Kami tahu dia salah seorang yang mampu menjaringkan gol untuk kami sama ada dari dalam atau sekitar kotak penalti ,” kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

Kemenangan tipis itu melegakan Solskjaer yang melakukan sembilan pertukaran ke atas kesebelasan yang menewaskan Leicester Sabtu lalu dengan tuan rumah memberi peluang kepada beberapa pemain muda menyerlahkan kemampuan.

Greenwood tersenarai bersama Angel Gomes, Axel Tuanzebe dan Tahith Chong.

"Hari ini peluang terbaik mereka,” kata Solskjaer. “Kami menjadikan ia sukar dan dalam aksi seperti ini jika anda mahu menang, anda perlu lakukan dalam tempoh 20 minit pertama, baharulah anda boleh nikmatinya.

"Anda boleh saksikan pemain muda ini perlukan beberapa perlawanan tetapi saya tetap puas hati dengan tiga mata.”

Skuad pelawat mengharungi perjalanan 6,000km ke Theatre of Dreams dan hampir meraih mata hasil ketangkasan Eric mengawal gawang.

Percubaan pemain tengah Brazil, Fred melepasi palang gol ketika United bermula garang pada awal babak pertama sebelum Eric dua kali menafikan usaha Marcus Rashford.

Rashford mencipta nama dalam situasi sama ketika krisis kecederaan melanda skuad Louis van Gaal dalam aksi Liga Europa 2016 dengan dua jaringan ketika menentang kelab Denmark, Midtjylland.

Solskjaer turut berharap kegagalan United layak ke Liga Juara-Juara memberinya peluang menyerlahkan bakat pemain muda dalam aksi kejohanan tahap dua Eropah musim ini.

Ternyata, Greenwood membalas kepercayaan pengendali dari Norway itu dengan jaringan kemenangan United.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 7:12am
d