arena

Saka puas robek gawang Frankfurt

Oleh AFP

“MIMPI jadi nyata”, menurut pemain sayap remaja, Bukayo Saka selepas menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal ketika menewaskan Eintracht Frankfurt 3-0 dalam aksi Liga Europa di tempat lawan, awal pagi tadi.

Saka, 18, menjaringkan gol sulung di peringkat senior dalam aksi di Frankfurt dengan Arsenal memperolehi dua jaringan pada lewat permainan selepas Joe Willock meletakkan pelawat di hadapan pada babak pertama.

Saka tenang meledak rembatan ke penjuru kanan gawang lawan pada minit ke-85 sejurus selepas Frankfurt beraksi 10 pemain apabila pemain tengah, Dominik Kohr dilayang kad kuning kedua.

Dia kemudiannya merampas bola di kaki kapten Frankfurt, David Abraham dan melorongkannya kepada Pierre-Emerick Aubameyang yang menewaskan penjaga gol, Kevin Trapp untuk jaringan ketiga Gunners dua minit selepas itu.

"Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol untuk Arsenal, ia mimpi jadi nyata. Saya mengimpikan saat ini sejak masih kanak-kanak lagi,” kata Saka yang hanya tampil kali kedua di peringkat Eropah.

"Saya mahu terus bekerja keras bagi memastikan detik seperti ini dapat diulangi lagi.”

Pengendali Gunnes, Unai Emery turut memuji kemampuan Saka dan Willock, 20, yang memanfaatkan peluang diberikan dengan menyerlahkan aksi menarik tetapi memberi amaran Aston Villa bakal menyajikan cabaran berbeza dalam aksi Liga Perdana, Ahad ini.

"Kami tahu aksi hari ini pasti sukar, mereka bertahan jauh ke dalam dan menimbulkan masalah sejak awal permainan,” kata Emery.

"Kami berjaya menguasai bola dengan baik dan pemain muda tampil penuh yakin. Semua orang boleh gembira dan meneruskan aksi dalam kejohanan ini adalah penting. Jadi sangat baik meraih kemenangan terutamanya di tempat lawan.”

"Tetapi cabaran Aston Villa pasti berbeza dan memerlukan pertahanan yang lebih fokus. Kami mempunyai pemain untuk detik berbeza.”

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 7:42am
d