arena

Federer gembira Piala Laver di China

Oleh Reuters

ROGER Federer berkata, dia gembira jika Piala Laver berlangsung di China pada masa hadapan.

Kejohanan kali pertama membabitkan pertembungan Pasukan Eropah dan Pasukan Dunia itu berlangsung di Prague pada 2017 dan tahun lalu di Chicago yang menyaksikan tiket habis dijual dengan skuad diketuai pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic membantu Eropah menang 13-8.

"Mengapa tidak...ia terbuka dan fleksibel tetapi anda perlu bertanya kepada orang Piala Laver,” kata juara pemenang Grand Slam 20 kali itu kepada wartawan menjelang edisi ketiga kejohanan yang berlangsung malam ini.

"Saya yakin mereka turut memikirkan destinasi akan datang untuk beberapa tahun selepas ini.

"China menjadi tempat yang baik kepada kami. Kejohanan di Shanghai dan Beijing adalah besar dan sentiasa dipenuhi penonton. Tenis di sana semakin berkembang dengan pelbagai kejohanan.

"Sudah pasti terdapat negara dan bandar lain yang berminat menganjurkannya pada masa depan. Selepas Prague, Chicago dan kini Geneva, China juga pasti teruja jika Piala Laver berlangsung di sana.”

Eropah turut menjuarai edisi pertama dan Kapten Pasukan Dunia, John McEnroe berharap tuah menyebelahi mereka kali ini di Switzerland.

Pasukan Eropah: Rafa Nadal, Roger Federer, Dominic Thiem, Alexander Zverev, Stefanos Tsitsipas dan Fabio Fognini

Pasukan Dunia: John Isner, Milos Raonic, Nick Kyrgios, Taylor Fritz, Denis Shapovalov dan Jack Sock

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 11:24am
d