arena

Dollah, Zainal 'singsing lengan'

Oleh Asrol Awang

DI sebalik kejayaan ke suku akhir Piala Malaysia, tumpuan terarah kepada dua rakan baik, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan.

Ini kerana dua bekas pemain kebangsaan itu pernah bergandingan yang menyaksikan mereka membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia pada 2013.

Namun, situasi kali ini berbeza kerana dua bekas penyerang kebangsaan itu masing-masing mengendalikan Pahang dan Melaka United dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Dipertemukan pada aksi suku akhir Piala Malaysia, ia pertembungan dinantikan kerana misi utama setiap jurulatih membawa pasukan melangkah jauh dalam saingan piala berprestij itu.

Justeru, Dollah yang juga bekas jurulatih Harimau Malaya mahu misi menjulang kejuaraan bersama skuad Tok Gajah musim ini tidak disekat Melaka United.

"Apa sekalipun, dalam bola sepak setiap jurulatih mahukan kemenangan dan begitu juga saya yang mengharapkan Pahang menang apabila berdepan Melaka United.

"Begitu juga Zainal Abidin kerana kami dalam bola sepak bukan baru dan menjadi lumrah apabila bersaing untuk meraih kejayaan," katanya.

Musim ini, pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super menyaksikan skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 4-1 dan seri 1-1.

Namun kali ini ia pentas berbeza selepas kebangkitan dilakukan skuad kendalian Zainal Abidin untuk mengetepikan Felda United FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.

Pada perlawanan suku akhir pertama Ahad ini, Dollah dijangka menyenaraikan kesebelasan terbaik termasuk penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme.

Pahang turut menagih sentuhan pemain pertahanan, Herold Goulon yang sudah menjaringkan 11 gol musim ini termasuk jaringan ketika menewaskan Pulau Pinang 2-0, Rabu lalu.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 2:25pm
d