arena

Nafuzi tiup 'api' perjuangan TFC

Oleh Malik Muhamad

"INI padang kita, jadi bermainlah bermati-matian demi lencana Terengganu di dada." Itu pesanan pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain kepada anak buahnya menjelang pertemuan getir dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Selain itu, jurulatih kelahiran Kelantan terbabit juga menuntut anak buahnya agar cepat 'panas' dengan terus mengasak kubu Harimau Selatan bermula wisel pertama dibunyikan bagi memburu jaringan awal sekali gus memberi tekanan kepada pasukan lawan.

"Pertemuan di tempat sendiri begitu penting buat kami untuk catat kemenangan, saya harap pemain cepat panas, fokus setiap minit menguasai bola.

“Usah bagi lawan selesa bermain dengan bola dan tidak melakukan kesilapan yang mungkin membawa padah. Saya juga tuntut pemain beraksi mengikut strategi dirancang serta terus berusaha untuk catat keputusan selesa di tempat sendiri dan jangan sesekali mengalah, manakala selebihnya kita serahkan kepada takdir.

"Ini kerana saya akui setiap perlawanan ada tekanan sebab kita nak menang, lagipun kita tahu reputasi skuad JDT adalah pasukan terbaik negara dengan menjuarai Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut selain pernah menentang kelab gergasi di Asia.

"Bagi saya rekod sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya ia adalah sejarah , tapi pemain boleh jadikan sebagai motivasi buat diri mereka sebelum turun menentang skuad itu," ujar Nafuzi ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Musim lalu TFC menang dengan agregat 3-2 menundukkan JDT pada aksi separuh akhir hasil kemenangan 1-0 di Kuala Terengganu dan seri 2-2 di Larkin sebelum mara ke final Piala Malaysia.

Musim ini dalam saingan liga, rekod kedua-dua pasukan itu seimbang dengan keputusan seri 2-2 pada aksi pusingan pertama di Kuala Terengganu dan 3-3 pada perlawanan kedua di Larkin.

"Misi kita tidak mahu bolos di tempat sendiri, sebaliknya pemain perlu mencari seberapa banyak jaringan sebagai bekalan sebelum aksi kedua pada 28 September ini di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin."

Buat peminat setia TFC, mereka harus memberi sokongan pada setiap minit bagi membangkitkan lagi semangat pemain untuk melakar kemenangan," katanya yang tidak bimbang berdepan skuad itu biarpun tanpa dua tonggak, Syamim Yahya dan Thierry Chantha Bin yang masih dibelenggu kecederaan.

Dalam pada itu Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memaklumkan sebanyak 8,000 keping akan mula dijual pada jam 10.30 pagi esok di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan harga RM15 bagi tempat duduk biasa, berbumbung RM25 dan kanak-kanak RM5 manakala tiket secara dalam talian melalui aplikasi stubapp sebanyak 2,000 keping sudah dibuka.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 2:32pm
d