arena

Fati pilih La Roja?

Oleh Reuters

PENYERANG remaja Barcelona Ansu Fati bakal mewakili Sepanyol di pentas antarabangsa selepas diberikan kerakyatan Sepanyol.

Media tempatan melaporkan bahawa pemain berusia 16 tahun yang menjadi pemain termuda mewakili Barcelona di Liga Juara-Juara selepas beraksi dalam perlawanan menentang Borussia Dortmund yang berkesudahan 0-0, boleh bermain untuk Guinea-Bissau, negara kelahirannya, begitu juga dengan Portugal.

Begitupun dia memilih untuk bermain untuk negara angkatnya, Sepanyol yang menjadi rumahnya sejak berusia enam tahun.

Selepas memenuhi tempoh menetap 10 tahun seperti yang dikehendaki untuk mendapatkan kerakyatan Sepanyol, permohonan pemain berusia 16 tahun itu diproses oleh Kementerian Dalam Negeri menjelang tarikh tutup Piala Dunia Bawah-17 Rabu depan.

Jurulatih senior Sepanyol Robert Moreno berkata hujung minggu lalu bahawa Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) sedang berusaha untuk menguruskan perkara itu.

“Perkara itu bukan di bawah kawalan saya,” kata Moreno.

“Mereka di RFEF sedang berusaha bagi membolehkan Ansu bermain untuk Sepanyol tetapi terpulang kepada keputusan pemain itu. RFEF berusaha untuk mendapatkan pemain terbaik.”

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 9:23pm
d