arena

PKNP tetap mahukan penjelasan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PKNP FC sudah menghantar surat bantahan dan meminta penjelasan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai penundaan perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia antara pasukan itu dengan PJ City, malam tadi.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung malam tadi terpaksa ditunda sekali lagi malam esok berikutan sebahagian besar pemain dan pegawai PJ City masih dalam tempoh kuarantin susulan wabak Influenza B.

Penolong Setiausaha Kehormat PKNP FC, Mohamed Helmi Mohamed berkata, mereka menerima surat memaklumkan penundaan perlawanan malam tadi pada jam 11 pagi iaitu kurang 12 jam sebelum sepak mula.

Menurutnya, lebih mengecewakan apabila pihaknya sebagai tuan rumah bagi perlawanan itu hanya menerima surat penerima salinan dan bukannya diberikan secara terus kepada mereka.

“Jadi kami mahu minta penjelasan daripada pihak bertanggungjawab kerana ada surat yang keluar sebelum ini mengatakan tiada lagi penangguhan perlawanan.

“Kami bersimpati dengan pasukan lawan yang kebanyakan pemainnya dijangkiti Influenza B cuma yang kami kurang faham kenapa pemain yang sepatutnya dikuarantin dibawa ke Manjung,” katanya pada sidang media di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Helmi berkata, mereka juga ingin meminta penjelasan daripada pihak berkaitan membabitkan pihak mana yang akan bertanggungjawab terhadap perbelanjaan bagi persiapan dan persediaan perlawanan itu.

Terdahulu, perlawanan terakhir kumpulan antara dua pasukan itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Manjung Selasa lalu terpaksa ditunda kepada malam tadi selepas beberapa pemain PJ City dijangkiti virus Influenza B.

Difahamkan, sekiranya PJ City gagal hadir ke perlawanan itu, PKNP akan dikira sebagai pemenang dengan jaringan 3-0 seperti yang termaktub dalam peraturan Liga Malaysia.

Selepas itu, satu lagi surat dikeluarkan dengan MFL memutuskan untuk mengekalkan tarikh perlawanan iaitu malam tadi, namun sebelum sepak mula satu surat dikeluarkan bagi memaklumkan perlawanan itu ditunda sekali lagi kepada 22 September ini (malam esok).

Semalam, MFL menyatakan permohonan PJ City untuk menangguh perlawanan itu disokong dengan surat arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Manjung.

Sementara itu, ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata, beliau akur dengan keputusan MFL namun mereka juga mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

“Saya mengambil risiko untuk bermain Ahad ini kerana menghormati PJ City dengan masalah yang melanda mereka cuma kami juga ada hak untuk bertanya bukan menerima segala arahan (semata-mata) daripada MFL.

“Apa yang saya lihat kelebihan kepada PJ City, jadual sudah keluar dan penangguhan ini bukan saja merencatkan pasukan kami, fokus pemain saya turut terjejas begitu juga suasana perlawanan suku akhir,” katanya yang mengakui terkejut dengan keputusan itu kerana kedua-dua pasukan sudah berada di Manjung.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 10:44am
d