arena

Red Bull tak minat Hulkenberg

Oleh Reuters

PELUANG Nico Hulkenberg untuk mencari pasukan Formula Satu tahun depan kelihatan tipis selepas Red Bull menyatakan dia tidak menjadi sebahagian daripada perancangan mereka manakala pasukan lain turut kurang berminat.

Pemandu Renault berusia 32 tahun itu berdepan masa depan tidak menentu selepas Renault memilih untuk menggantikannya hujung tahun ini dengan pemandu muda Perancis, Esteban Ocon di samping pemandu Australia, Daniel Ricciardo.

Harapan terbaiknya adalah pasukan Haas namun pasukan milik AS itu mengumumkan pada Grand Prix Singapura kelmarin mereka kekal dengan gandingan Romain Grosjean dan Kevin Magnussen.

Ia menyaksikan Alfa Romeo, Red Bull, Toro Rosso di samping bekas juara Williams yang mungkin mempunyai kekosongan.

“Nico tiada dalam senarai kami,” kata bos Red Bull, Christian Horner kepada wartawan.

“Dia seorang pemandu profesional yang gagal memenuhi potensinya dalam Formula Satu,” katanya mengenai pemandu yang memegang rekod sukan itu bagi perlumbaan terbanyak namun tidak pernah menjejak podium.

“Saya amat berharap dia akan mendapat pasukan kerana dia lebih bagus berbanding sesetengah pemandu di grid dan dia patut berada dalam F1.”

Hulkenberg melakukan penampilan sulungnya bersama Williams pada 2010 namun mereka menghuni tangga tercorot keseluruhan dengan hanya satu mata dan bergelut dengan kereta yang tidak kompetitif.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 1:23pm
d