arena

Marquez, Quartararo sedia berentap

Oleh AFP

MARC Marquez menjadi pilihan utama untuk menjuarai MotoGP Aragon selepas menduduki petak pertama perlumbaan Grand Prix di kampung halamannya hari ini dan akan terus bersaing dengan pelumba Perancis, Fabio Quartararo di barisan hadapan dengan Maverick Vinales di petak ketiga.

Marquez, juara dunia bertahan memenangi perlumbaan di Aragon untuk tiga musim berturut-turut dan pelumba berusia 26 tahun itu mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan untuk petak pertama, 0.327 saat mendahului Quartararo.

Minggu lalu, Marquez membayangi Quartararo untuk 18 pusingan di GP San Marino sebelum berjaya memintas pelumba muda Yamaha itu pada pusingan terakhir untuk meraih kemenangan.

Ia adalah kemenangan ketujuh musim ini dan Marquez menjelaskan dia tidak berazam untuk menjadi naib juara sekali lagi selepas dua kali dipintas dalam dua perlumbaan sebelum ini iaitu pada GP Silverstone dan Belanda.

Esok, peminat di litar Aragon sepanjang 5.077km, 160km daripada kampung halaman Marquez di Cervera, bakal menyaksikan satu lagi pertarungan sengit di antara kedua-duanya.

“Fabio sudah bersedia untuk menang perlumbaan dan bermula tahun depan, berjuang merebut kejuaraan,” kata Marquez selepas perlumbaan minggu lalu.

Turut berada di barisan hadapan adalah pelumba Sepanyol Maverick Vinales, yang bermula di petak pertama di San Marino dan menduduki tangga ketiga.

Dalam kedudukan ranking dunia ketika ini, Marquez mendahului Andrea Dovizioso dari Ducati dengan 93 mata dengan baki enam perlumbaan.

Pelumba Itali yang menunggang Ducati itu bagaimanapun berada di petak ke-10 selepas sesi kelayakan hari ini.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 10:50pm
d