arena

VAR punca kebangkitan The Foxes

Oleh Agens

KETUA jurulatih Tottenham, Mauricio Pochettino berkata, jaringan pasukannya yang dibatalkan VAR mencetuskan inspirasi kepada kebangkitan Leicester City dalam aksi Liga Perdana di Stadium King Power, semalam.

Spurs yang mendahului 1-0 menerusi Harry Kane berjaya menembusi gawang tuan rumah apabila rembatan rendah Serge Aurier menerjah jaring namun pengadil, Paul Tierney membatalkannya selepas reviu VAR mendapati Son Heung-min offsaid terlebih dahulu.

Leicester kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Ricardo Pereira sebelum James Maddison mengesahkan tiga mata buat The Foxes menerusi rembatan jarak jauh untuk kemenangan 2-1.

Pochettino yakin keputusan VAR bagaikan talian hayat dan menyalakan harapan buat Leicester selepas jaringan kedua Tottenham yang dibatalkan sepatutnya boleh menamatkan permainan.

"Ia memberikan harapan kepada pasukan yang sepatutnya ‘mati’,” kata Pochettino yang mengendalikan perlawanan ke-250 bersama Spurs.

"Kedua-dua pasukan menerima kesan akibat situasi ini. Jika jaringan kedua kami sah, perlawanan sudah tamat.

"Tapi inilah bola sepak. Jika ketinggalan dua gol sudah pasti sukar untuk menang tapi sebelum mereka menjaringkan dua gol, kami skuad lebih baik.”

Kekalahan itu meneruskan prestasi hambar mereka di tempat lawan apabila tidak menang sejak Januari lalu.

"Kami perlu meningkatkan persembahan di tempat lawan,” kata pengendali Tottenham itu. “Kami akan terus bekerja keras. Secara keseluruhannya saya kecewa tetapi tetap positif dan optimis.”

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 11:54am
d