arena

Neymar julang PSG ke puncak Ligue 1

Oleh AFP

JARINGAN lewat Neymar membolehkan Paris Saint-Germain menewaskan Lyon 1-0 awal pagi tadi untuk melonjak tiga mata di puncak Ligue 1.

Dia tangkas menewaskan penjaga gol tuan rumah, Anthony Lopes yang sebelum itu cemerlang mengawal gawangnya ketika permainan berbaki tiga minit dalam aksi di Stadium Groupama.

Jaringan kemenangan itu yang kedua Neymar dalam aksi liga sejak kemelut perpindahannya ke Barcelona berakhir.

"Neymar boleh melakukan dengan lebih baik,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel. "Ini aksi kedua atau ketiga untuknya dalam masa empat bulan dan dia belum berada pada tahap 100 peratus terbaik.

"Dia akan menjadi lebih baik dengan perlawanan dan jaringan seperti itu pasti membantunya.”

PSG kini gah selaku pendahulu dengan 15 mata selepas Angers dan Nice menang aksi masing-masing untuk berada di tiga kelompok teratas. Kemenangan di atas padang basah akibat hujan itu meneruskan momentum cemerlang PSG selepas menewaskan Real Madrid dalam aksi Liga Juara Juara minggu lalu.

Lyon kekal di tangga kesembilan dan tanpa kemenangan sejak pertengahan Ogos lalu.

PSG beraksi tanpa trio penyerang, Kylian Mbappe, Edinson Cavani dan Mauro Icardi akibat kecederaan manakala pemain tengah, Marco Verratti dimasukkan sebagai pemain gantian.

Selepas beberapa kali percubaannya diselamatkan Lopes, Neymar memecah kebuntuan selepas memperdayakan pertahanan Lyon dan merembat kencang dalam kotak penalti untuk menewaskan Lopes pada minit ke-87.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 7:29am
d