arena

Cheng Hoe panggil semula Aidil Zafuan

Oleh Syazwan Msar

PEMAIN pertahanan berpengalaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dipanggil semula menyertai skuad Harimau Malaya sebagai persiapan berdepan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) , pemain Felda United Hadin Azman digugurkan untuk berada di dalam senarai menunggu.

Selain Mohamad Aidil Zafuan, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut menyenaraikan pemain tengah Selangor, Abdul Halim Saari bagi melengkapkan senarai 25 pemain.

Jurulatih berasal dari Kedah itu juga mengekalkan 23 pemain lain yang berada di dalam skuad yang berhadapan Jordan, Indonesia dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

Selain Hadin Azman, enam pemain lain yang turut berada di dalam senarai menunggu sekiranya terdapat kecederaan kepada pemain sedia ada ialah Syazwan Andik Ishak (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Jafri Firdaus Chew (PKNS FC), Amirul Azhan Aznan (Perak) serta Azzizan Nordin dan Rawilson Batuil (Sabah).

Selain daripada aksi ketiga Kumpulan G bagi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, pasukan negara juga akan beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Pasukan negara akan bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 5 Oktober disusuli aksi menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober.

Skuad Kebangsaan akan terus diuji pada perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 15 Oktober.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 8:10pm
d