arena

ToP 2019 tidak terjejas

Oleh Azlan Muhammad Zain

MOTOSHOOT Event Sdn Bhd berharap situasi jerebu yang melanda negara sejak beberapa minggu lalu tidak akan berpanjangan seterusnya membolehkan penganjuran Tour of Peninsular (ToP) 2019 diadakan bulan depan.

Perlumbaan edisi pertama ToP 2019 berlangsung dengan lima peringkat dari 15 hingga 19 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) ToP, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit dengan keadaan jerebu dijangka berakhir pada awal Oktober nanti, justeru pihaknya berharap ia tidak akan menjejaskan acara perlumbaan itu.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya sudah mempunyai rancangan alternatif sekiranya situasi tetap berterusan.

"Bagaimanapun Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kebiasaannya memberikan pandangan yang serius terhadap tahap kepanasan yang melampau, tidak kepada jerebu," katanya.

ToP 2019 adalah perlumbaan pertama di Malaysia yang berstatus 2.1 dijadual bermula dari Dungun ke Kuala Terengganu diikuti Kuala Terengganu ke Kota Bharu pada dua peringkat awal.

Pasir Mas akan menjadi pelepasan peringkat ketiga menuju ke Gerik disusuli Ipoh ke Cameron Highlands dan perlumbaan akan berakhir pada peringkat kelima di Setiawangsa.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 8:50pm
d