arena

Tunda perlawanan jika mudarat

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Jika keadaan mudarat, aksi Piala Malaysia 2019 akan ditunda atau dihentikan bagi mengelak kesihatan pemain dan pegawai pasukan terjejas akibat masalah jerebu.

Malah, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataannya kepada media semalam memaklumkan turut merancang mendapatkan alat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi membolehkan bacaan boleh dibuat terus di venue itu sendiri.

Jelas MFL, pihaknya sentiasa berusaha keras bagi memastikan kejohanan berprestij itu berjalan lancar dan mengikuti piawaian peraturan pertandingan yang disediakan.

Katanya, MFL tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya kepada bacaan IPU di mana bacaan itu subjektif dan ia boleh berubah pada setiap masa.

“Kami akui masalah jerebu sedang melanda negara, tetapi tidak bermakna MFL tidak prihatin dalam soal kesihatan apabila perlawanan Piala Malaysia 2019 diteruskan.

“Pada masa sama, langkah berjaga-jaga turut diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini termasuk cooling break ketika perlawanan berlangsung di mana pemain akan diberikan rehat dalam tempoh selama tiga minit bermula minit ke-35 dan 70.

“Selain itu, dalam peraturan sedia ada memang mewajibkan setiap pasukan menyediakan minimum seorang doktor. Doktor itu bukan saja memberikan rawatan kepada pemain, tetapi beliau juga boleh memberikan khidmat nasihat mengenai situasi jerebu yang melanda di setiap venue berkenaan,” katanya, di sini.

Arena Metro semalam melaporkan mengenai saingan Piala Malaysia tetap diteruskan MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika negara dilanda jerebu kuat sejak beberapa minggu lalu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa mempersoalkan sejauh mana keprihatian pihak terbabit berhubung kesan jerebu terhadap kesihatan pemain.

Menurutnya, dari aspek sains sukan, jerebu adalah keadaan tidak baik untuk ahli sukan kesihatan bermain bagi sukan berbentuk kompetitif kerana ia boleh mengganggu sistem kardiovaskular atau jantung.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 6:01am
d