arena

Korea Selatan buntu atasi Malaysia

Oleh Ferzalfie Fauzi

SKUAD hoki Korea Selatan terus buntu untuk menumpaskan skuad negara pada aksi persahabatan kedua hari ini selepas terikat 2-2 di Pusat Latihan Kebangsaan Jincheon, Korea Selatan.

Skuad bimbingan Roelant Oltmans terus mempamerkan permainan garang dan pada satu ketika berada dalam landasan terbaik untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas mendahului 2-0.

Giliran Faizal Saari pula mencuri tumpuan selepas meledak dua gol dan kedua-duanya dihasilkan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-11 dan disusuli jaringan kedua dua minit kemudian.

Korea Selatan menggandakan asakan terutama di suku kedua dan berjaya memperoleh gol sulung di minit ke-25 menerusi Jang Jong Hyun hasil pukulan sudut penalti.

Jong Hyun terus menjadi duri dalam daging skuad hoki negara apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-56.

Aksi persahabatan antara Malaysia dan Korea Selatan akan bersambung Khamis dan Jumaat ini selepas berehat esok.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 11:35pm
d