arena

Hamilton rindu aksi di Sepang

Oleh Iskandar Shah Mohamed

JUARA lima kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton meluahkan perasaan rindu untuk beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang ditutup bagi perlumbaan itu sejak dua tahun lalu.

Pemandu Mercedes AMG Petronas itu berkata, dia masih tidak melupakan detik berlumba di litar berkenaan yang dianggap antara paling sukar dan mencabar di dunia.

"Saya tidak faham apa sebenarnya berlaku sehingga litar itu ditutup kerajaan Malaysia. Pagi tadi ada yang bertanyakan saya di lapangan terbang KLIA kenapa tidak berlumba F1 di negara ini.

"Jika berpeluang, saya memang mahu kembali berlumba di litar itu yang dianggap paling mencabar dari segi fizikal dan mental pelumba," katanya.

Hamilton yang menjuarai perlumbaan di Sepang pada 2014 berkata dia juga mahu melihat sukan permotoran termahal dunia itu kembali ke SIC dalam Kalendar FI Dunia.

Dalam pada itu, pelumba kelahiran Britain berkenaan turut sempat berseloroh tertarik dengan makanan kegemarannya, roti canai selain kagum melihat keindahan Menara Berkembar KLCC.

Pada Februari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan turut mahu perlumbaan berprestij dunia itu kembali ke SIC selain diharap menjana banyak perkara termasuk perbelanjaan trek yang berbaloi. 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan penamatan kontrak penganjuran perlumbaan F1 bermula tahun lalu.

Ia berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjuran perlumbaan itu selain mengambil kira laporan SIC mengenai impak kewangan kepada semua pihak berkepentingan.

SIC menutup perlumbaan secara rasmi pada 2017 dengan pemandu Red Bull, Max Verstappen muncul pemandu termuda menjuarai Grand Prix Malaysia yang menjadi edisi terakhir dianjurkan selepas 19 tahun.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 11:45pm
d