arena

Aksi berdepan Hong Kong mungkin dibatalkan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PERLAWANAN persahabatan antarabangsa Tier 1 skuad Harimau Malaya menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 15 Oktober depan mungkin dibatalkan jika demonstrasi bertambah buruk di negara itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam pihaknya peka dan sentiasa berbincang dengan Persatuan Bolasepak Hong Kong (Hong Kong FA) berhubung protes yang dilaporkan semakin menjadi-jadi di Hong Kong.

"Perjalanan pasukan kebangsaan dari Vietnam ke Hong Kong sedang diteliti oleh FAM dan juga Hong Kong FA.

"Mereka (Hong Kong FA) memang peka mengenai situasi dalaman mereka. Untuk persiapan pasukan dalam kempen kelayakan Piala Dunia ini, mereka dah jadi tuan rumah perlawanan. Bagi saya isu keselamatan tiada tapi (lebih) isu domestik.

"Namun kita bekerjasama dan setakat ini tiada risiko besar untuk pasukan kita. Persekitaran dalaman di sana boleh berubah dan kita sangat peka mengenai perkara itu," katanya kepada media di Puncak Alam.

Protes ganas berlaku lebih 100 hari di Hong Kong dicetuskan oleh satu rang undang-undang yang boleh menarik wilayah itu kepada sistem perundangan di China.

Rang undang-undang itu ditarik awal bulan ini, namun protes masih berterusan.

Stuart berkata, FAM juga menyediakan Pelan B, untuk perlawanan itu diadakan di Malaysia dengan persetujuan bersama.

"Pelan B, jika boleh Hong Kong datang bermain di Malaysia. Pelan C pula jika mereka tidak setuju kita akan batalkan perlawanan persahabatan itu.

"Kita tunggu masa sesuai untuk buat keputusan bersama. Bagi saya Hong Kong FA memang peka (protes) dan tidak tidak mahu isu keselamatan timbul yang mungkin akan diambil tindakan oleh FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

Perlawanan menentang Hong Kong antara sesi ujian untuk pasukan kebangsaan untuk menghadapi baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan.

Sebelum ke Hong Kong, anak buah Tan Cheng Hoe akan bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 5 Oktober disusuli aksi menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 12:08am
d