arena

Tottenham tak tenang: Pochettino

Oleh AFP

MAURICIO Pochettino mendakwa pasukan Tottenham kendaliannya ‘tidak tenteram’ selepas diaibkan dengan kekalahan pusingan ketiga Piala Liga di tangan pasukan divisyen keempat Colchester awal pagi tadi.

Skuad Pochettino tewas 3-4 menerusi penalti selepas terikat tanpa jaringan dengan pasukan 71 anak tangga di bawah mereka dengan Christian Eriksen dan Lucas Moura gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Sesuatu yang wajar apabila percubaan Eriksen mudah diselamatkan penjaga gol ketika pemain tengah Denmark itu menjadi fokus terhadap suasana kurang menyenangkan di kem Tottenham.

Eriksen berkata dia mahukan cabaran baharu pada akhir musim lalu, namun harapannya untuk meninggalkan kelab itu musnah.

Jan Vertonghen, Danny Rose, Toby Alderweireld dan Victor Wanyama juga berdepan situasi tidak menentu berhubung masa depan mereka di kelab itu dan biarpun jendela perpindahan ditutup, masih belum dapat dipastikan mereka akan kekal di kelab itu dalam tempoh jangka panjang.

Pochettino mengakui masih ada isu di belakang tabir yang menyumbang kepada permulaan hambar Tottenham, beberapa bulan selepas mencipta kejutan mara ke final Liga Juara-Juara.

“Ada anda mempunyai skuad yang tidak tenteram, ia sentiasa sukar dan anda kehilangan masa dan kemudian anda perlukan masa untuk mengganti masa yang hilang itu,” kata Pochettino.

“Itulah kedudukan kami. Mungkin persembahan kami baik tetapi anda perlukan lebih daripada itu iaitu mental, hubungan, itulah tenaga untuk menjadi sebuah pasukan, bukan memiliki agenda berbeza dalam pasukan.

“Kami perlukan masa untuk membina kesepakatan yang anda perlukan apabila anda bertanding pada tahap ini.”

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 9:03am
d