arena

Batmunkh julang TSG di Indonesia

Oleh Azlan Muhammad Zain

TERENGGANU Inc TSG menjuarai peringkat pertama International Tour de Banyuwangi Ijen di Indonesia menerusi pelumbanya dari Mongolia, Maral-Erdene Batmunkh, hari ini.

Pelumba berusia 24 tahun itu memenangi peringkat pertama sejauh 133.2 kilometer dari Genteng ke Banyuwangi dengan masa 3 jam 3 minit dan 36 saat diikuti Robbie Hucker (Team Ukyo) dan Jesse Ewart dari Team Sapura Cycling (TSC).

“Saya amat gembira dengan kejayaan peringkat pertama ini. Ia membolehkan saya menyarung jersi kuning pada perlumbaan peringkat kedua. Ia hasil kerjasama sepasukan yang diberikan semua bagi saya mencapai kejayaan ini,” katanya.

Selain menyarung jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan, Batmunkh turut meraih jersi kategori pecut dengan mengumpul 26 mata diekori dua pelumba TSC, Ewart (14 mata) dan Akmal Hakim Zakaria (12 mata).

TSC menduduki tempat kedua bagi kategori pasukan keseluruhan apabila ketinggalan 20 saat berbanding pasukan dari Australia, St George Continental yang mengumpul 9’15:13.

Selain TSG dan TSC, turut beraksi pada perlumbaan berstatus 2.2 dalam Jelajah Asia itu adalah skuad kebangsaan kendalian Mohd Yusof Abdul Nasir pada saingan empat peringkat sejauh 520.6km.

Peringkat terakhir dari Purwohardo ke Ijen sejauh 129.9km dijangka memberikan cabaran sengit kepada pelumba kerana perlu mengharungi pendakian kategori hors class.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 7:07pm
d