arena

Super KIP minta turun pangkat

Oleh Saiful Affendy Sapran

MASA depan pelumba negara, Khairul Idham Pawi akhirnya terjawab apabila dia disahkan kembali beraksi pada saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan bersama Petronas Sprinta Racing.

Khairul atau Super KIP yang beraksi dalam Moto2 musim ini bersama pasukan sama, tidak dapat meneruskan baki perlumbaan kerana masih belum pulih daripada kecederaan tangan kanan ketika Grand Prix Sepanyol, Mei lalu.

Jelas Khairul, dia sendiri meminta kepada pengurusan untuk kembali ke Moto3 musim depan, kelas yang mencipta namanya apabila memenangi perlumbaan sebanyak dua kali pada 2016 ketika bersama Idemitsu Honda Team Asia.

“Saya gembira dapat kekal selama setahun lagi bersama pasukan. Saya sendiri beritahu pasukan untuk kembali ke Moto3 dan mereka memberikan peluang ini kepada saya.

“Ia sesuatu yang saya ingin lakukan kerana hanya semusim saja saya beraksi di Moto3 pada 2016. Saya rasa banyak lagi yang perlu dipelajari,” katanya.

Ujar Khairul, bergandingan dengan pelumba berpengalaman, John McPhee musim depan diharap dapat memberikan pengalaman berharga buatnya.

“Sasaran saya untuk musim depan adalah cuba bersaing di kelompok depan.”

Tempat Khairul bagi baki perlumbaan musim ini digalas oleh rakan senegara, Adam Norrodin.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 8:25pm
d