arena

Tetap gah tanpa Hazard, Bale

Oleh AFP

KRISIS melanda Real Madrid bagaikan dilupakan seketika apabila mereka berjaya menewaskan Osasuna 2-0 awal pagi tadi tanpa Eden Hazard dan Gareth Bale untuk berada di puncak La Liga.

Hazard dan Bale adalah antara sejumlah pemain yang direhatkan jurulatih Zinedine Zidane, dengan Real berdepan tujuh perlawanan dalam tempoh 21 hari, perlawanan seterusnya adalah menentang pencabar setempat Atletico Madrid awal pagi Ahad.

Vinicius Junior, yang berdepan kesukaran beberapa bulan ini, mengisi kekosongan itu apabila melakukan sepakan tinggi ke bahagian atas gawang sebelum menangis, menggambarkan perasaan gembira dan lega.

Kali terakhir tahun lalu, pemain berusia 19 tahun itu mencuri tumpuan tetapi kecederaan dan kemerosotan prestasi menyebabkannya terus terpinggir, dan ini peluangnya untuk meletakkan dirinya dalam skuad yang sering digilirkan.

Sekiranya Vinicius adalah pemain sensasi Madrid dari Brazil setahun lalu, Rodrygo pula menyerlah musim ini.

Pemain berusia 18 tahun yang dibawa masuk dari Santos pada 2018 tetapi menyertai pasukan musim panas lalu, menambah gol kedua yang cantik dan pertama bagi kelab itu, seminit selepas diturunkan sebagai pemain gantian untuk aksi sulung yang menakjubkan.

“Saya bangga dengan mereka,” kata Zidane.

“Ada kalanya kita terlupa mereka berusia 18 (dan 19 ) tahun. Kami melihat emosi yang dirasai apabila menjaringkan gol di Bernabeu. Saya sukakan gol Rodrygo tetapi saya lebih sukakan kawalan permainannya.”

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 9:51am
d