arena

Pengorbanan Syamim buat Terengganu

Oleh Malik Muhamad

PEMAIN sayap, Ahmad Syamim Yahya pasrah andai tidak tersenarai dalam kalangan 18 pemain bakal membawa cabaran Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.

Ini susulan pemain berusia 29 tahun itu belum cergas sepenuhnya selepas cedera ligamen lutut pada aksi pertama peringkat Kumpulan A saingan piala itu menentang PKNS FC.

“Saya pasrah sama ada disenaraikan atau sebaliknya apabila bertemu JDT kerana belum cergas dan masih terasa kesakitan ketika sesi latihan.

“Besar harapan saya membantu skuad TFC layak ke separuh akhir lebih-lebih lagi ketinggalan selepas tumpas 0-1 pada aksi pertama.

“Saya doakan kami mampu menang sekurang-kurangnya 2-1 biarpun sedar bukan mudah beraksi di Larkin.

“Buat peminat skuad Penyu, sokongan padu sentiasa ditagih untuk menyuntik semangat beraksi lebih baik pada pertemuan penting itu,” ujar Syamim pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dan Johor.

Pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain tidak mahu mengambil risiko menurunkan Syamim sebaliknya menunggu laporan pegawai perubatan mengenai tahap kecergasan pemain itu.

“Kita akan menilai tahap kecergasan Syamim dan Thierry Chantha Bin, jika sesuai kita senaraikan mereka”.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 1:26pm
d