arena

ToP 2019 promosi Terengganu ke mata dunia

Oleh Azlan Muhammad Zain

PENGANJURAN edisi pertama Tour of Peninsular (ToP) 2019 mendapat sokongan kerajaan negeri Terengganu yang diumumkan salah satu penaja utama perlumbaan berstatus 2.1 dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

Penganjur perlumbaan, Motoshoot Event Sdn Bhd menerusi satu kenyataan gembira dengan komitmen dipamerkan Terengganu yang sememangnya tidak asing dalam arena sukan berbasikal negara.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Muhd Opandi Che Wook menghargai kesungguhan kerajaan negeri dalam membantu melancarkan penganjuran perlumbaan yang bakal bermula di Terengganu.

“Penajaan ni memberi makna besar kepada kami. Terengganu bukan sahaja mengeluarkan perbelanjaan kewangan agak besar namun menggerakkan hampir keseluruhan jentera pentadbiran negeri dalam membantu memastikan acara ini dilangsungkan dengan lancar, khasnya penganjuran acara praperlumbaan dan Peringkat 1 dan 2," menurut Opandi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan pihaknya mengalu-alukan kehadiran perlumbaan bertaraf antarabangsa yang menyediakan ruang promosi dan penjenamaan kepada sektor sukan pelancongan selain membolehkan rakyat menyaksikan pelumba negeri bertanding di laman sendiri.

"Masyarakat antarabangsa berpeluang melihat dengan lebih dekat keindahan jambatan angkat atau Drawbridge Terengganu melalui beberapa acara dan perlumbaan yang melibatkan penggunaan jambatan itu sendiri," tambahnya.

ToP 2019 dijadual bermula pada 15 Oktober dengan penyertaan 20 pasukan berstatus profesional benua dan benua termasuk pendahulu Jelajah Asia, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG).

Ia bermula di Dungun dan berakhir di Kuala Terengganu bagi Peringkat 1 diikuti Kuala Terengganu ke Kota Bharu sebelum menyusuri Gerik, Ipoh, Cameron Highlands, Tapah serta Setiawangsa pada 19 Oktober.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 10:32pm
d