arena

Mercedes bukan lagi pilihan juara : Hamilton

Oleh Reuters

JUARA dunia lima kali, Lewis Hamilton berkata, pasukan Mercedes kekal sebagai bukan pilihan bagi baki saingan Formula Satu (F1) musim ini walaupun mendahului kedudukan kategori pemandu dan pengeluar dengan selesa.

Pelumba Britain mendahului rakan sepasukan, Valtteri Bottas dengan 65 mata menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Russia Ahad ini, manakala Mercedes selesa 133 mata mengatasi pencabar terdekat, Ferrari.

Ferrari memenangi tiga perlumbaan terakhir, bagaimanapun dan juga menggondol tiga kedudukan pole berturut-turut. Hamilton dan Bottas gagal penamat podium di pusingan perlumbaan di Singapura minggu lalu. Mercedes memenangi setiap perlumbaan di GP Russia sejak yang pertama pada 2014.

“Saya tidak fikir kami akan menjadi pasukan pilihan di semua enam peringkat perlumbaan seterusnya tetapi ia tidak bermakna kami tidak boleh menang,” kata Hamilton.

“Kami tahu berapa pantas Ferrari sejak tiga peringkat perlumbaan lalu, dan kami ketinggalan di belakang dan tidak mampu bersaing,” tambah juara dunia itu yang memenangi pelumbaan di Russia tahun lalu.

“Buat masa ini, saya boleh katakan tiga peringkat perlumbaan terakhir lalu, kami mungkin tidak menumpukan 100 peratus pada hujung minggu dan itu yang kami perlu perbaiki untuk kembali bersaing. Penumpuan sepenuh perhatian.

“Saya mungkin boleh tumpukan kepada jentera atau mengenai diri sendiri. Saya masih belum melakukan pusingan sempurna musim ini. Mengekalkan sebagai pendahulu bukan perkara mudah.”

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 10:25am
d