arena

PSG tagih sengat Mbappe

Oleh AFP

PARIS Saint-Germain (PSG) seakan berusaha melupakan kekalahan yang jarang berlaku di laman sendiri dalam liga apabila berkunjung ke Bordeaux esok, di mana Kylian Mbappe boleh kembali selepas sebulan diketepikan berikutan mengalami kecederaan betis.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel yang dibelenggu kecederaan berlarutan, tewas 2-0 kepada Reims Rabu lalu sekali gus menamatkan rekod 22 perlawanan tanpa kalah di Parc des Princes.

Ia adalah kekalahan pertama PSG di laman sendiri sejak November 2012.

“Ia adalah persembahan buruk. Banyak pemain kami tidak dapat bermain, kerana itu kami banyak melakukan perubahan,” kata Tuchel.

“Saya perlu merancang masa permainan untuk skuad. Saya rasa ada kemungkinan kami bermain lebih baik bersama pemain yang kami ada di atas padang.”

PSG kekal di kedudukan teratas carta Ligue 1 menerusi perbezaan jaringan, di atas pasukan kejutan Angers yang menghuni tangga kedua, namun pertahanan Marquinhos berkata mereka perlu berusaha untuk terus mengekalkan tahap tinggi dimiliki mereka.

“Cabaran pada musim ini adalah mengekalkan tahap tinggi pada setiap perlawanan,” kata Marquinhos. “Kami mesti memberi inspirasi kepada diri sendiri untuk mengharungi cabaran ini.”

Neymar yang menampilkan jaringan kemenangan lewat dalam dua perlawanannya musim ini, menjadi tumpuan pada pertengahan minggu ketika ketiadaan Mbappe, Edinson Cavani dan Mauro Icardi.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 10:49am
d