arena

JDT enggan berasa selesa

Oleh Rizar Mohd Noor

TIADA istilah berada dalam keadaan selesa buat Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan melayani kunjungan Terengganu FC (TFC) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Bagi pengendali JDT, Benjamin Mora, walaupun skuad Harimau Selatan melakar kemenangan tipis 1-0 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddun Shah, Sabtu lalu ia bukan jaminan juara Liga Super enam musim berturut-turut mampu layak ke separuh akhir piala berprestij musim ini.

Sebaliknya pengendali kelahiran Mexico itu mengakui perjalanan JDT ke separuh akhir masih berliku dan ada baki 90 minit lagi perlawanan yang perlu diharungi dan jika tersilap langkah kemungkinan impian untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik bakal berkecai.

"Kami tidak anggap kemenangan 1-0 ke atas TFC memberi jaminan slot ke separuh akhir.

Sebaliknya ada baki 90 minit lagi yang harus diharungi dan dalam permainan bola sepak macam-macam boleh berlaku.

"Terus terang saya katakan, persembahan ketika menewaskan TFC cukup menggembirakan kerana kita tahu memang sukar untuk mencipta kemenangan apabila beraksi di Kuala Terengganu dan pemain menunjukkan komitmen yang tinggi pada aksi suku akhir pertama.

"Kini kami sudah membuat persiapan rapi dan memperbaiki apa jua kelemahan di posisi bek, tengah dan serangan kerana kami mahu memburu kemenangan dan strategik yang ampuh tanpa memberi ruang kepada lawan menguasai bola," katanya.

Pada aksi suku akhir pertama, kelibat pemain import termahal Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Diogo Luis Santo muncul wira skuad Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu yang menjadi bekalan terbaik untuk di bawa ke Larkin, malam esok.

Apapun, JDT harus berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Nafuzi Zain yang mampu melakar kejutan selepas skuad Penyu itu pernah merencatkan sambutan JDT menjulang piala liga selepas melakar keputusan seri 3-3 pada aksi terakhir saingan liga 19 Julai lalu di Larkin.

"Fokus dan sentiasa tenang ketika beraksi menjadi kunci utama setiap pemain yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama. Malah latihan menjelang pertembungan suku akhir kedua jelas tampak begitu positif," katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 3:20pm
d